PAS tak berpecah, tiada kumpulan MN, PN, kata veteran parti

PAS tak berpecah, tiada kumpulan MN, PN, kata veteran parti

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat, Mahfodz Mohamed, berkata sehingga kini tidak berlaku apa-apa perpecahan kerana semua ahli parti patuh kepada kepimpinan.

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat, Mahfodz Mohamed, berkata walaupun ada segelintir pemimpin PAS dilihat lantang membuat kenyataan terbuka mengkritik, ia tidak bermakna parti itu dilanda perpecahan kepada dua kumpulan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Veteran PAS menyifatkan perbezaan pandangan dalam parti itu adalah perkara biasa, sebagai reaksi kepada teguran terbuka Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik.

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat, Mahfodz Mohamed, berkata walaupun ada segelintir pemimpin PAS dilihat lantang membuat kenyataan mengkritik, ia tidak bermakna parti itu dilanda perpecahan kepada dua kumpulan.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya PAS berpecah kepada dua kumpulan, di mana satu pihak mahukan Muafakat Nasional (MN) dan sebelah pihak lagi cenderung bersama Perikatan Nasional (PN).

“Sehingga kini tidak berlaku apa-apa perpecahan kerana semua ahli PAS patuh kepada kepimpinan dan patuh kepada keputusan parti. PAS kekalkan pendirian pertahankan PN dan perkasakan MN, ini pendirian PAS hingga kini tidak berubah.

“Berbeza pandangan atau pendapat biasalah dalam parti yang besar seperti PAS,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada kritikan terbuka Mokhtar menggambarkan PAS berpecah kepada dua kumpulan.

Beliau mengulas kenyataan Mokhtar yang memberi peringatan kepada individu berjawatan dalam parti itu supaya berwaspada terhadap “pengampu” selepas mendakwa dihalang memberikan usrah untuk program anjuran parti.

Terdahulu, Mokhtar berkata, pengalamannya sebelum ini banyak melihat “pengampu” parti yang bertindak berlebihan memaki dan mencaci orang lebih daripada pemimpin lain.

Dalam pada itu, Mahfodz yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, menasihati ahli parti supaya membuat teguran secara dalaman jika tidak berpuas hati, bukannya menggunakan media sosial kerana dibimbangi mendatangkan fitnah.

“Ahli-ahli PAS semuanya wala kepada kepimpinan, jadi nasihat saya sebagai Ketua Assabiqun PAS kepada ahli-ahli PAS yang saya kasihi sekalian, kalau ada perbezaan pandangan, dibincangkan secara dalaman jangan gunakan media sosial dibimbangi boleh mendatangkan fitnah kepada parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.