
Tertuduh, Muhammad Tarmymy Che Ani, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Harmi Thamri Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh menggunakan jawatannya untuk mencadangkan syarikat dimiliki bapa dan adiknya kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah bagi menjalankan kerja menurap dan menyelenggara sebatang jalan di Taman Tiram, Kulim bernilai RM200,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, di sini, pada 12 Dis 2019.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu, iaitu minit mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sebut Harga bertarikh 27 Nov 2019 dan minit mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Harga, Peruntukan Projek Marris Tahun 2019 Fasa 2 Majlis Perbandaran Kulim bertarikh 27 Nov 2019.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Kedah, Wisma Darul Aman, di sini, pada 5 dan 26 Dis 2019 lepas.
Bagi dua kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa SPRM Kedah Mohd Zulfadli Azharudin yang mengendalikan kes itu meminta mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 ke atas tertuduh, namun peguam M Puveneswaran memohon jaminan RM20,000 memandangkan anak guamnya perlu menyara isteri dan seorang anak.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.