
Menurut laporan Mediacorp, Charlene Ashby Clay, 24, yang dikenakan dua tuduhan pecah amanah dan satu lagi memindahkan faedah daripada perbuatan jenayah, juga didakwa menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membeli hartanah di Malaysia.
Mengikut fakta kes, dia didakwa menggelapkan duit Klinik Dr Smile di Blok 443, Clementi Avenue 3 sejak Okt 2018 dengan mengambil wang tunai daripada pesakit.
Tertuduh kemudian memasukkan data ke dalam sistem urus niaga klinik untuk menjadikannya seolah-olah pesakit membuat bayaran melalui kaedah yang tidak dapat disahkan segera seperti kad kredit.
Sepanjang Okt 2018 hingga Mac 2019, Charlene didakwa menggelapkan SGD44,861 (RM138,553) menerusi kaedah tersebut dan memindahkan duit ke dalam akaunnya sendiri.
Perbuatannya mula dihidu pada Mac 2019 apabila akauntan klinik berkenaan memberitahu doktor gigi tersebut bahawa terdapat percanggahan antara jumlah wang diterima dengan data sistem urus niaga klinik.
Tertuduh juga merayu kepada doktor gigi tersebut supaya tidak membatalkan permit kerjanya dan meminta diberi satu lagi peluang.
Berikutan itu, majikannya bersetuju memotong gaji bulanan antara SGD650 (RM2007) hingga SGD1,050 (RM3,242) setiap bulan bagi melunaskan semua duit yang diambilnya.
Namun, tertuduh didakwa menggunakan kaedah lain untuk melakukan kesalahan yang sama dan sekali lagi terbongkar pada 30 Mac 2020.
Wanita itu juga didakwa memindahkan sebahagian duit yang dicuri ke dalam akaun bank di Malaysia untuk membeli hartanah.