Kali ke-7 kena banjir, penduduk Gemas sifatkan bencana terburuk sejak 16 tahun lalu

Kali ke-7 kena banjir, penduduk Gemas sifatkan bencana terburuk sejak 16 tahun lalu

Banjir besar pernah berlaku di Gemas pada 2011 dan kembali berulang tahun ini malah lebih teruk apabila banyak kediaman rosak teruk dan dinaiki air melebihi paras bahu.

Penduduk kampung sekitar mengambil insiatif mengawal lalu lintas di laluan Jalan Jelai-Gemas Tambahan yang turut tenggelam akibat dinaiki air ketika tinjauan hari ini. (Gambar Bernama)
TAMPIN:
Penduduk Gemas sudah ‘lali’ berdepan musibah banjir selepas kali ketujuh dilanda bencana itu, sejak 16 tahun lalu.

Suri rumah Norizan Abdullah, 53, berkata beliau reda dengan kejadian berlaku susulan kediamannya ditenggelami air hingga paras leher akibat hujan lebat, sejak dua hari lalu.

“Banjir kali ini adalah yang ketujuh sejak menetap di Taman Sungai Gemas, 16 tahun lepas dan terburuk pernah dialami,” katanya.

Norizan berkata, rata-rata penduduk Taman Sungai Gemas bersiap sedia menghadapi banjir, sekiranya berlaku hujan lebat memandangkan kawasan perumahan itu terletak berhampiran Sungai Gemas.

“Kejadian banjir kilat memang kerap berlaku di kawasan ini apabila Sungai Gemas melimpah masuk loji kumbahan dan kolam takungan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Banjir besar pernah terjadi pada 2011 dan tahun ini kembali berulang, malah lebih teruk apabila banyak kediaman rosak teruk dan dinaiki air lebih paras bahu,” katanya menurut laporan Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Kampung Gemas Indah, Mohd Rawi Majid, berkata kebanyakan rumah di Taman Sungai Gemas terletak di kawasan rendah.

“Hujan berterusan menyebabkan hampir 60 rumah dengan 200 mangsa serta surau berdekatan terjejas banjir. Kalau nak ikutkan sejarah, sememangnya Taman Sungai Gemas ini merupakan kawasan mudah dinaiki air,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tampin Hasan Bahrom, berkata antara kawasan terjejas teruk dilanda banjir adalah Felda Jelai 4, Kampung Pasir Besar, Felda Sungai Kelamah, Taman Pinggiran Felda dan Taman Sungai Gemas.

“Bantuan Wang Ihsan RM1,000 akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir dan jumlah sebenar akan dikenal pasti sebaik urusan pemindahan mangsa ke PPS selesai. Pada masa ini, kita agihkan bantuan barangan keperluan asas dan makanan kepada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.