Penjawat awam antara 5 ditahan miliki dadah, bahan terlarang

Penjawat awam antara 5 ditahan miliki dadah, bahan terlarang

Seramai empat lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand, berumur antara 21 hingga 24 tahun ditahan dalam serbuan itu.

Permohonan reman ke atas lima individu terbabit akan dibuat di Mahkamah Kluang hari ini, kata polis.
KLUANG:
Polis menahan lima individu termasuk penjawat awam kerana disyaki memiliki dadah dan bahan terlarang dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Delima di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Low Hang Seng berkata, dalam serbuan pukul 11 pagi itu, empat lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand berumur antara 21 hingga 24 tahun ditahan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sembilan tong kosong disyaki untuk menyimpan cecair dadah, sebuah bingkai yang disimpan sepucuk pistol angin berwarna hitam, sebuah botol kaca mengandungi 320 biji bebola besi dan sebuah beg berwarna hitam yang berisi alat renjatan elektrik.

Low berkata, melalui ujian saringan air kencing pula, tiga daripada mereka termasuk penjawat awam itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil siasatan lanjut turut mendapati dua individu mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara rampasan lain ialah 95 botol cecair 10ml disyaki dadah tertera tulisan ‘Antique Vintage’; 27 botol cecair 10ml disyaki dadah tertera tulisan ‘Godchii Chill Lake A God’; tujuh botol cecair 10ml disyaki dadah berlabel ‘Nebula e Juice’ serta ratusan kotak pembungkus berlabel pelbagai jenis produk dipercayai dadah.

Turut dirampas satu unit alat penimbang, 26 biji pil disyaki pil kuda, satu bekas mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu, satu paket lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis pil kuda dan enam buah telefon bimbit, kata Low.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Low berkata, pihaknya akan memohon reman ke atas lima individu itu di Mahkamah Kluang hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.