
Permohonan itu difailkan Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, masing-masing selaku defendan keempat dan kelima menerusi saman pemula, lapor Berita Harian.
Menerusi saman pemula yang difailkan pada 16 Disember lalu, kedua-dua defendan menyatakan jumlah keseluruhan tuntutan oleh plaintif (Siti Nordiana) iaitu sebanyak RM2.5 juta adalah melebihi bidang kuasa Mahkamah Sesyen.
Terdahulu, peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi media berkata, permohonan untuk memindahkan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz secara dalam talian pada Isnin ini.
Katanya, hari ini, ditetapkan pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Haslinda A Raof.
Pada perbicaraan lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan menetapkan perbicaraan kes itu disambung sembilan hari bermula 4 Januari depan.
Prosiding perbicaraan kes itu setakat ini mendengar keterangan Siti Nordiana melalui sesi pemeriksaan balas.
Siti Nordiana, 37, memfailkan saman RM2.5 juta terhadap kedua-duanya serta tiga yang lain atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram.
Tiga defendan lain ialah penyanyi, Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi, Syura atau Zuraidah Badron, 35.