Tak sempat joli hasil pecah rumah, ‘Geng Gopi’ dicekup polis

Tak sempat joli hasil pecah rumah, ‘Geng Gopi’ dicekup polis

Empat suspek ditahan di dua lokasi berasingan hanya beberapa jam selepas memecah masuk sebuah rumah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh (tengah) menunjukkan peralatan yang dirampas selepas empat ahli Geng Gopi ditahan, Selasa lalu. (Gambar Facebook IPD Kuala Langat)
PETALING JAYA:
Empat ahli kumpulan dikenali sebagai Geng Gopi termasuk ketuanya ditahan polis, hanya beberapa jam memecah masuk sebuah rumah di Batu 10, Telok Panglima Garang, kelmarin.

Suspek berusia 30-an ditahan di beberapa lokasi berasingan di Shah Alam dan Klang selepas polis menerima laporan berhubung kes pecah rumah pada jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, tiga suspek ditahan di sebuah premis kimpalan paip yang terbiar di Seksyen 36, Shah Alam manakala ketua kumpulan pula ditahan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang.

“Sebelum itu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 51 tahun yang mendakwa rumahnya dipecah masuk individu tidak dikenali dan beberapa barangan termasuk topi keledar, pasport, kunci kereta hilang.

“Hasil maklumat, polis menyerbu sebuah premis kimpalan paip yang sudah lama tidak beroperasi di Shah Alam dan menahan tiga suspek.

“Soal siasat kemudian membawa kepada penahan seorang lagi lelaki dipercayai ketua kumpulan berkenaan. Turut ditemui adalah pasport milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan mendapati ahli geng berkenaan mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala ketua kumpulan itu dikesan memiliki 21 rekod jenayah.

Kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak dua tahun lalu dan dengan penangkapan empat suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan Telok Panglima Garang serta Klang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.