
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Pengarah JKKP, pihaknya telah mengeluarkan notis melarang kerja-kerja mengangkat diteruskan agar siasatan lanjut dapat dijalankan.
“Saksi-saksi berkaitan juga akan dipanggil untuk dirakamkan keterangan,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian tersebut, seorang pekerja warga Indonesia dilaporkan maut apabila struktur besi yang tergantung pada kren jatuh menimpanya di tapak pembinaan di Kuchai Lama Entrepreneurs Park.
Mangsa yang berusia 42 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Dalam kenyataannya hari ini, JKKP menjelaskan kejadian itu berlaku ketika pekerja terbabit sedang menjalankan kerja-kerja merombak komponen kren menara.
“Kejadian berlaku ketika mangsa baru sahaja selesai melepaskan ikatan ‘chain sling’ pada mast kren menara yang dirombak setelah diletakkan di permukaan tanah.
“Bagaimanapun, ia tumbang dan menimpa mangsa,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas dan dihantar ke hospital untuk bedah siasat, tambah JKKP.
Jabatan itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang bertanggungjawab jika didapati berlaku pelanggaran bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.
“JKKP amat memandang serius setiap kemalangan yang melibatkan pekerja mahupun orang awam,” katanya.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.”