2 lagi anggota pengaman maut dalam letupan di selatan Lubnan

2 lagi anggota pengaman maut dalam letupan di selatan Lubnan

Letupan itu turut menyebabkan dua lain cedera termasuk seorang parah.

Unifil berkata dua anggota itu terkorban dalam satu ‘letupan yang tidak diketahui puncanya’ yang memusnahkan kenderaan mereka berhampiran Bani Hayyan di daerah Marjeyoun. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Dua anggota pengaman di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) maut manakala dua yang lain cedera, termasuk seorang parah dalam satu letupan yang menyasarkan kenderaan mereka di selatan Lubnan, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Unifil memaklumkan bahawa dua anggota itu terkorban dalam satu ‘letupan yang tidak diketahui puncanya’ yang memusnahkan kenderaan mereka berhampiran Bani Hayyan di daerah Marjeyoun.

Insiden itu merupakan kejadian kedua seumpamanya dalam tempoh 24 jam, menurut misi berkenaan, sambil menambah bahawa siasatan berhubung kejadian itu telah dilancarkan.

“Kami menegaskan bahawa tiada siapa sepatutnya kehilangan nyawa ketika berkhidmat demi keamanan,” menurut kenyataan itu.

Pada Ahad, Unifil memaklumkan seorang anggota pengaman maut manakala seorang lagi cedera selepas satu projektil mengenai pos Unifil berhampiran Adshit al-Qusayr di selatan Lubnan.

Agensi berita negara Lubnan NNA melaporkan bahawa tembakan artileri Israel menyasarkan ibu pejabat unit Unifil Indonesia di bandar yang sama, tanpa memberikan butiran lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.