
Ketua Penerangan parti itu, Ulya Aqamah Husamudin berkata, peletakan jawatan bekas ahli Panel Perunding dan Pencegahan Rasuah SPRM, Edmund Terence Gomez semalam amat mengejutkan dan membimbangkan.
Gomez meletak jawatan sebagai ahli panel SPRM semalam selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM.
Gomez dalam surat peletakan jawatannya berkata, timbul persoalan berhubung “hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa” serta situasi “konflik kepentingan” membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan pegawai itu memiliki saham.
Ulya mendakwa sikap sambil lewa Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM yang tidak mendesak atau mengadakan mesyuarat berhubung dakwaan membabitkan Ketua Pesuruhjayanya menimbulkan keraguan, spekulasi dan kesangsian terhadap agensi antirasuah itu.
“Tuntutan ini perlu diberi keutamaan bagi menyiasat dakwaan salah laku Azam. Beliau juga sepatutnya direhatkan daripada tugas bagi memberi laluan kepada siasatan yang harus disegerakan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan merehatkan Azam adalah satu-satunya cara bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap agensi antirasuah itu untuk menunjukan wujudnya sistem semak dan imbang yang baik dalam organisasi kerajaan.
“Tugas utama SPRM ialah untuk membasmi rasuah dan melindungi pemberi maklumat yang mengambil risiko mendedahkan maklumat walaupun salah laku itu berlaku di dalam kelambu sendiri. Sekiranya SPRM tidak lagi boleh dipercayai, kepada siapa rakyat harus meletakkan tanggungjawab ini?” soalnya.
Oleh itu, Pejuang mendesak mesyuarat dan siasatan dimulakan serta-merta terhadap Azam demi mengembalikan nama baik SPRM.
“Di negara kita, mereka yang serius ingin memerangi rasuah dipaksa meletakkan jawatan, manakala mereka yang didakwa melakukannya masih mengetuai SPRM.”