Bekalan elektrik 831 kawasan banjir pulih, kata TNB

Bekalan elektrik 831 kawasan banjir pulih, kata TNB

Bagaimanapun 14 kawasan di Selangor, 10 di Pahang dan masing-masing dua kawasan di Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

Jika kawasan banjir surut namun belum mendapat bekalan elektrik, hal berkenaan disebabkan pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan belum selamat untuk diaktifkan, kata TNB Careline.
KUALA LUMPUR:
Bekalan elektrik di 831 kawasan terjejas banjir di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah dipulihkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan ia meliputi 510 kawasan di Pahang, 178 di Selangor, 118 di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.

“Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” menurut hantaran itu.

TNB Careline turut memberitahu 14 kawasan di Selangor, 10 di Pahang dan masing-masing dua di Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

Selain itu menurutnya, usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

TNB Careline juga menasihati pelanggan agar meletakkan peralatan elektrik di tempat yang lebih tinggi dan selamat agar tidak ditenggelami banjir sebagai langkah berjaga-jaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.