Tugas siapa sebenarnya urus bencana di Selangor, Kit Siang soal PM

Tugas siapa sebenarnya urus bencana di Selangor, Kit Siang soal PM

Veteran DAP itu berkata, beliau meminta penjelasan mengenai hal ini daripada Ismail Sabri Yaakob, namun tidak mendapat jawapan.

Pengerusi MKN Selangor Noh Omar (kiri) berkata, pengurusan bencana negeri bukan bidang kuasanya, tetapi tanggungjawab Menteri Besar Amirudin Shari.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab menguruskan bencana di Selangor.

Beliau berkata, terdapat banyak kekeliruan mengenai perkara itu sejak negeri terbabit dilanda banjir hujung minggu lepas.

Menurut Lim, Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor Noh Omar berkata, bidang kuasanya hanyalah untuk menyelia hal ehwal keselamatan, bukan pengurusan bencana.

“Semalam, saya meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kepada umum siapa sebenarnya Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor kerana kekeliruan seumpama itu tidak sepatutnya timbul di tengah-tengah bencana banjir paling dahsyat yang berlaku dan meragut 37 nyawa setakat ini.

“Perdana Menteri senyap seribu bahasa sejak semalam,” katanya dalam kenyataan.

“Mungkinkah Perdana Menteri sendiri tidak tahu siapa Pengerusi MKN Selangor?”

Terdapat kekeliruan mengenai siapa yang bertanggungjawab atas pengurusan bencana Selangor selepas Menteri Besar Amirudin Shari berkata, beliau dimaklumkan pada November bahawa jawatannya telah diambil alih oleh menteri persekutuan.

Selasa lepas, Amirudin memaklumkan kepada media bahawa beliau akan mempengerusikan MKN Selangor. Susulan itu, Noh yang dikatakan pengerusi MKN sejak November, dikritik orang ramai kerana dilihat gagal menguruskan bencana banjir.

Menjawab kritikan orang ramai, Noh menuduh Amirudin tak faham tentang arahan MKN yang menetapkan Menteri Besar Selangor itu bertanggungjawab ke atas pengurusan bencana, manakala beliau bertanggungjawab mengenai keselamatan dan ketenteraman awam.

Pada Rabu, Lim menggesa supaya Perdana Menteri menyingkirkan Noh dan memecatnya sebagai menteri atas ketidakcekapannya menangani bencana banjir di Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.