Exco hadap Sultan Selangor berkenaan isu penternakan babi pada Isnin

Exco hadap Sultan Selangor berkenaan isu penternakan babi pada Isnin

Exco akan bentang keputusan MMKN perketat syarat pengoperasian industri penternakan babi, dan langkah perkukuh keselamatan dan kebersihan.

Amirudin Shari bernama pic 181225
Menteri Besar Amirudin Shari kata exco akan menghadap Sultan Selangor berkenaan isu penternakan babi di Kuala Langat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Exco infrastruktur dan pertanian akan menghadap Sultan Selangor pada Isnin berkenaan isu penternakan babi di Kuala Langat.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata Izham Hashim akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memperketat syarat pengoperasian industri penternakan babi, berasaskan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira semua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan setelah belasan tahun,” menurut kenyataan.

Izham juga akan membentangkan langkah proaktif agensi penguatkuasaan memperkukuh keselamatan dan kebersihan persekitaran, katanya.

“Kerajaan negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat serta pedoman sultan,” tambahnya.

Pengumuman ini menyusuli kenyataan Pejabat Sultan Selangor, petang tadi, yang menarik perhatian kepada masalah berkaitan penternakan babi di Kuala Langat, yang gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

Malah, Sultan Sharafuddin, mengusulkan wakil-wakil rakyat untuk menempuh sendiri pengalaman penduduk sekitar kawasan penternakan babi, yang menanggung pelbagai kesan termasuk bau busuk, pencemaran air sungai, serta masalah lalat.

Sorotan itu berlatarkan keputusan kerajaan Selangor melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor bagi memastikan industri ternakan babi diurus secara lebih bersih, tersusun dan moden.

Sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada di 112 ladang di Tanjong Sepat, Kuala Langat ketika ini terus beroperasi di lokasi masing-masing.

Pejabat Sultan Selangor berkata Sultan Sharafuddin tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar, kerana bimbang masalah pencemaran yang berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.