Kerajaan Sarawak timbang pindah PPS dari sekolah

Kerajaan Sarawak timbang pindah PPS dari sekolah

Perbincangan berhubung tapak alternatif akan diadakan kerana sesi persekolahan baharu akan bermula 12 Jan ini.

banjir sarawak jbpm pic 10125
Seramai 3,019 mangsa banjir daripada 888 keluarga ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara di Sarawak petang tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Timbalan Premier Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu mungkin dipindahkan dari sekolah ke lokasi alternatif seperti rumah panjang.

Beliau dipetik Borneo Post berkata, perbincangan akan diadakan antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jabatan Pendidikan Sarawak kerana sebahagian sekolah kini dijadikan PPS.

Sesi persekolahan baharu akan bermula 12 Jan ini.

Seramai 3,019 mangsa banjir daripada 888 keluarga ditempatkan di 40 PPS di Sarawak petang tadi.

Antara sekolah yang kemudahannya digunakan sebagai PPS ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, SK St Peter, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Batu 29 dan SK Tebakang.

Uggah berkata, 17 kejadian tanah runtuh direkodkan di Serian, dengan Jabatan Kerja Raya digerakkan sepenuhnya untuk menilai kerosakan.

Katanya, aduan diterima berhubung jalan raya dan jambatan rosak atau terputus di Baram serta Kakus, dengan pegawai diarahkan meneliti kerja pembaikan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.