
Katanya, Food Bank Malaysia adalah program kesukarelawan kendalian KPDNHEP berkonsepkan saluran bantuan melalui pengumpulan makanan dan barang keperluan daripada penyumbang seperti pasar raya, pengilang, pengusaha makanan serta syarikat korporat, yang tidak membabitkan peruntukan kerajaan.
Kenyataan ini menyusul video seminit lapan saat tular di media sosial yang mempersoalkan kuantiti makanan disumbangkan kepada mangsa banjir, membabitkan dua pek biskut, tiga pek mi segera, gula dan beberapa barangan lain.
KPDNHEP berkata, dakwaan dalam video itu tidak benar dan hanya bertujuan memberikan gambaran negatif kepada kementerian itu serta kerajaan.
“KPDNHEP ingin menjelaskan kotak disediakan itu adalah pek individu yang dihasratkan untuk kegunaan segera individu dilanda musibah dan golongan perlu dibantu.
“Barangan disumbangkan dalam kotak terdiri daripada makanan kering dan keperluan diri. Barangan lain turut disediakan di luar kotak seperti beras, gula, tepung, lampin pakai buang bayi dan orang dewasa serta tuala wanita.
“Bagi kegunaan isu rumah, KPDNHEP juga ada dan akan mengedarkan sumbangan seperti beras, tepung, minyak masak dan lain-lain makanan kering. Ia biasanya diberikan kepada mangsa banjir selepas pulang ke rumah masing-masing,” katanya menurut laporan Berita Harian.
KPDNHEP berkata, barangan yang disumbang kepada Food Bank Malaysia diselaras kementerian itu serta dikumpul dan dibungkus sukarelawan di pusat pengagihan dan pengumpulan (DC) yang kemudian diagihkan kepada mangsa banjir melalui kerjasama beberapa pihak di bawah agensi kerajaan dan Rakan Strategik Utama Program Food Bank Malaysia.
“KPDNHEP melalui Sekretariat Food Bank Malaysia telah mengagihkan bakul makanan dan keperluan diri kepada 3,230 ketua isi rumah terjejas bencana banjir mulai Ahad lalu hingga hari ini.
“Bagi menjayakan inisiatif program ini, KPDNHEP mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk menyumbang bagi Program Food Bank Malaysia,” katanya.