
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed, berkata kenderaan jenis Honda City itu ditunda tanpa kebenaran pemilik, dengan bateri dan pelekat cukai jalan hilang manakala nombor pendaftaran depan dan belakang dipatahkan.
“Pada 18 Dis lebih kurang jam 6 petang, mangsa berusia 26 tahun telah meletakkan kenderaan milik isterinya dalam keadaan baik dan berkunci. Namun, pada 20 Dis, 8.45 malam, mangsa mendapati kenderaan itu telah berada di atas trak tunda.
“Mangsa sempat membuat pemeriksaan dan didapati bateri kereta telah hilang, nombor pendaftaran depan belakang telah dipatahkan dan dapati pelekat cukai jalan juga hilang,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, semakan polis mendapati trak tunda itu didaftarkan atas nama satu syarikat, berpangkalan di Klang.
“Pada 19 Dis, mangsa telah membuat kenyataan dan tular di media sosial berkaitan dengan kejadian yang berlaku,” katanya.
Arjunaidi berkata, pihak polis berjaya menghubungi mangsa dan mangsa tampil membuat laporan polis, semalam.
“Susulan itu, polis menangkap seorang pemandu lori trak lelaki dengan permohonan reman dibuat pada hari sama,” katanya.