Tiada PRK di DUN Kempas, kata Speaker Johor

Tiada PRK di DUN Kempas, kata Speaker Johor

Ia susulan kematian penyandangnya, Osman Sapian malam tadi.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana kekosongan kerusi itu melepasi tempoh tiga tahun selepas PRU14 pada Mei 2018. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di Johor tidak perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Osman Sapian malam tadi.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, ini berikutan kekosongan kerusi itu melepasi tempoh tiga tahun selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

“Oleh kerana kekosongan ini berlaku lebih tiga tahun daripada PRU14, maka PRK tidak perlu diadakan.

“Selain itu, tiada juga isu majoriti DUN Johor dengan kelebihan satu kerusi di pihak kerajaan, maka mengikut Fasal 23(5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, tiada PRK di DUN Kempas,” katanya dipetik Berita Harian.

Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan PRK perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen dan DUN seperti termaktub dalam undang-undang.

Dalam pada itu, Suhaizan yang sedang mengerjakan umrah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman.

Osman, 70, meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara, Kuala Lumpur kira-kira 11.45 malam tadi.

Pada 13 Okt lalu, Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke hospital di Johor selepas diserang strok ringan, sebelum beliau dilaporkan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia di Selangor bulan lalu.

Pada 13 Nov lalu, Osman dilaporkan kembali stabil, tetapi masih dalam pemerhatian rapi dan tidak sedarkan diri.

Osman adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu, selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14. Allahyarham memegang jawatan itu selama 11 bulan, sebelum melepaskannya pada April 2019.

Pada PRU14, Osman menang di DUN Kempas dengan majoriti 9,178 undi, selepas meraih 21,137 undi menewaskan Ramlee Bohani dari Barisan Nasional dan Dzulkifli Suleiman dari PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.