
Minggu lalu, Selva menjadi topik bualan media sosial apabila beliau rebah di Taman Tun Dr Ismail dan ditemui dalam keadaan terpinga-pinga dan keliru oleh Jezamine Lim, isteri pelawak Harith Iskander.
Selepas melalui beberapa kesukaran, mereka berjaya membawanya pulang.
Semalam, mereka mengunjunginya dengan membawa sarapan tose, “sambar” dan chutney yang menyelerakan, kemudian meluangkan masa bersamanya semasa sesi “Jalan-jalan Cari Makan dan Barang” di Pusat Beli-belah One Utama.
“‘Uncle Selva’ kini lebih kuat sejak kejadian beliau rebah itu dan kami dapat berjalan-jalan di One U. Kami juga belikannya telefon pintar baharu setelah beliau kehilangan telefon lamanya ketika rebah hari itu,” kata Jezamine.

Walaupun Selva terhibur dapat keluar bersama pasangan itu, namun Jezamine berkata, beliau rindukan saat-saat sebegitu yang dikongsi bersama mendiang isterinya, seorang warga Filipina.
Menyedari keperluannya untuk berteman, Jezamine mendapat inspirasi untuk mewujudkan sistem sokongan bagi warga emas yang bersendirian.
Jezamine dan Harith turut membantu Selva dengan hutang-hutangnya.
“Kami bercadang untuk melunaskan hutang sewanya selama enam bulan dan membayar tambahan enam bulan sewa supaya beliau ada tempat tinggal,” katanya.
“Kami juga akan menampung perbelanjaan ubat-ubatan bagi penyakit Parkinson, kencing manis dan darah tinggi dihidapinya, selain mengupah penjaga untuk memantau kesihatan dan keselamatan ‘Uncle Selva’.”
Menurut Jezamine and Harith, kos keseluruhan untuk membantu Selva dianggarkan sebanyak RM35,000 dan mereka berharap masyarakat turut menghulurkan bantuan.
Sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank bernombor 564892140932, dengan “Uncle Selva” sebagai rujukan.
Bagi pertanyaan lanjut, sila hubungi Pertubuhan Harapan Amal Harith Iskander di [email protected].