
Francis Paul Siah berkata pengundi Cina di negeri itu menyokong Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti komponen GPS.
“Ia juga menunjukkan pengundi Cina memilih kestabilan dan pengalaman mentadbir yang dilihat dalam pentadbiran GPS dan bukannya keadaan kucar-kacir ahli politik yang tidak dikenali dalam lapan parti pembangkang yang bertelingkah sesama sendiri,” kata Siah yang memimpin Gerakan untuk Perubahan, Sarawak (MoCS).
Beliau menggesa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) supaya berhenti “membuli” parti itu, sambil merujuk kepada kehilangan kerusi tradisi SUPP iaitu Mambong dan Dudong, kerana insiden buruk sebelum pilihan raya tidak sepatutnya berlaku.
Dua kerusi itu diberikan kepada Parti Demokratik Progresif (PDP) dan PBB sekali gus menyebabkan kepimpinan SUPP kurang selesa.
“Sekarang orang Cina berada di belakang SUPP, mereka perlu lebih menghormati Presiden SUPP sebagai pemimpin utama bagi Cina Sarawak,” katanya kepada FMT yang merujuk kepada Dr Sim Kui Hian di mana beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah dengan pertambahan majoriti.
GPS menang 76 kerusi daripada 82 kerusi semalam.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan besar di Sarawak apabila DAP hanya menang dua daripada 24 kerusi yang ditandingi manakala PKR pula kalah di semua 28 kerusi. Amanah yang bertanding di lapan kerusi juga gagal menang sebarang kerusi.
Saintis politik James Chin yang meramalkan kemenangan besar GPS, berkata rakyat begitu marah dengan DAP Sarawak kerana beberapa sebab sejak sekian lama.
Alasan utamanya adalah wakil mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika PH memegang kuasa selama 22 bulan.
“Hakikatnya, seorang pemimpin Cina DAP menunjukkan prestasi yang buruk di peringkat persekutuan dan pengundi ingin memberi mesej,” katanya yang merujuk kepada Chong Chieng Jen yang sebelum ini menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.