PRN Sarawak: 52% keluar mengundi setakat 3 petang

PRN Sarawak: 52% keluar mengundi setakat 3 petang

Seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pemilih berdaftar mula keluar mengundi di 1,866 pusat mengundi disediakan di semua 82 kerusi DUN sejak 7.30 pagi.

Sebanyak 1,866 pusat mengundi dibuka membabitkan 3,555 saluran bagi rakyat di Bumi Kenyalang memilih kerajaan negeri yang baharu.
KUCHING:
Sebanyak 52% pengundi direkodkan keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 setakat 3 petang tadi, dua jam sebelum pengundian berakhir sepenuhnya pada 5 petang, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pemilih berdaftar mula keluar mengundi di 1,866 pusat mengundi yang disediakan di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri sejak 7.30 pagi.

Pada 14 Dis lepas, sejumlah 18,141 daripada 20,360 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka manakala 17,885 lagi mengundi melalui pos.

Bergantung kepada jumlah pengundi, beberapa pusat mengundi sudah mula ditutup secara berperingkat seawal 11 pagi. SPR sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 70%.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) 73, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28, DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 15, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11, Parti Amanah Negara (Amanah) lapan, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) lima dan PAS (1).

Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.