
Racheal Kwacz berkata kadar pembuangan bayi yang tinggi di negara ini menunjukkan sama ada ibu yang belum berkahwin itu tidak mengetahui tentang kewujudan ‘baby hatch’ atau tidak yakin sekiranya identiti mereka dirahsiakan.
Beliau, yang mempunyai laman web mempromosikan perkhidmatannya, memberitahu FMT terdapat kurang kesedaran tentang ketersediaan ‘baby hatch’ dan juga ketidakpercayaan terhadapnya.
“Orang ramai bimbang tentang kesan jenayah dan kekurangan kerahsiaan,” katanya. “Jadi, fokus seterusnya adalah untuk menjadikan ia mudah diakses, mudah didekati dan selamat.”
Pada Ogos 2019, kerajaan melancarkan kempen pencegahan pembuangan bayi dan didedahkan bahawa 64% daripada lebih seribu bayi yang dibuang antara 2010 dan Mei 2019 ditemui meninggal dunia.
Oktober lalu, satu laporan berita yang memetik seorang pegawai Bukit Aman berkata polis merekodkan 424 kes pembuangan bayi di seluruh negara antara 2018 dan September tahun ini.
Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata kejadian pembuangan bayi yang tinggi boleh dikaitkan dengan peningkatan aktiviti seksual dalam kalangan remaja bawah umur yang dipengaruhi media sosial dan didorong oleh tekanan rakan sebaya serta ketidakstabilan keluarga.
“Ini membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan seks tidak selamat dan kehamilan tidak diingini, menambahkan lagi gejala sosial,” katanya kepada FMT.
Azimah berkata negara tidak akan melihat peningkatan pembuangan bayi sekiranya masyarakat memperkukuh sistem nilai yang membimbing akhlak.
Timbalan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Yu Ren Chung menyeru satu dasar pendidikan seks berdasarkan bukti penyelidikan.
“Penyelidikan menunjukkan bahawa pendidikan seks yang sesuai dengan umur adalah berfungsi kerana ia meliputi kesihatan dan amalan seks selamat,” katanya kepada FMT.
“Dengan maklumat yang lebih baik, sesetengah orang muda mungkin memilih untuk menangguhkan hubungan seks. Mereka yang memilih untuk melakukan hubungan seks boleh melakukannya dengan selamat.”