
Setakat semalam, 19 mayat telah ditemui manakala 14 lagi selamat sementara 17 dilaporkan masih hilang dalam kejadian di perairan tersebut kira-kira 4.30 pagi, Rabu.
Beliau berkata, perkara yang menambah kebimbangan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada ketika ini ialah angka sebenar pendatang tanpa izin yang masih hilang dipercayai melebihi 17 orang hasil maklumat yang diperoleh daripada 14 mangsa yang terselamat.
“Situasi ini sudah tentu memberi cabaran kepada aset-aset SAR yang terlibat untuk melakukan pencarian di samping terpaksa mengharungi keadaan laut yang bergelora ketika musim monsun ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd Zubil berkata, pihaknya turut berdukacita dan memandang serius kejadian meragut nyawa ramai mangsa.
“Tragedi malang seperti ini boleh dielakkan sekiranya pendatang tanpa izin dan sindiket penyeludupan manusia tidak bersekongkol menyeludup masuk ke negara ini melalui pintu haram dengan mempertaruhkan nyawa dengan belayar ketika cuaca buruk, ombak setinggi tiga ke lima meter serta kelajuan angin mencecah 50 kilometer sejam,” tambah beliau.
Menurut Mohd Zubil, berdasarkan rekod, sejak Op Benteng dilancarkan pada Mei 2020 bagi mengekang aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin, semua aset agensi di bawah koordinasi National Task Force sentiasa melaksanakan rondaan dan pemantauan yang ketat di perairan negara.
Beliau mendedahkan hampir setiap malam terdapat cubaan menyusup masuk, namun dengan pemantauan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) milik Maritim Malaysia, berjaya mengesan 1,110 sasaran curiga dengan 689 diusir keluar dari perairan Malaysia.
“Meskipun kawalan ketat di sempadan negara diuar-uarkan secara meluas, namun masih terdapat pendatang tanpa izin yang bersikap degil untuk menyusup masuk hingga membawa padah kepada diri mereka sendiri.
“Bertambah malang, sindiket penyeludupan pula langsung tidak berhati perut malah mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan risiko nyawa,” tambah beliau.
Dalam insiden cuaca buruk seperti ini bot-bot pemintas penguat kuasa turut mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan aset dan penguat kuasa, apatah lagi bot-bot kecil seperti bot pancung yang tidak berupaya mengharungi gelora laut di samping tidak dilengkapi peralatan keselamatan, kata Mohd Zubil lagi.
Beliau berharap tragedi menyayat hati itu dapat menjadi pengajaran dan membuka mata pendatang tanpa izin serta sindiket penyeludupan supaya tidak mempertaruhkan nyawa dengan melalui jalan yang tidak sah.
“Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan negara terutamanya di kawasan ‘hotspot’ di Johor Timur yang menjadi laluan utama kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini, selain terus mempertingkatkan kerjasama bersama pihak berkuasa Indonesia menerusi perkongsian maklumat agar sindiket penyeludupan manusia dapat diburu dan dilumpuhkan ke akar umbi,” kata beliau.
Mereka yang ditahan dan disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan boleh didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM 2007).