
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis Zainudin Mohd Zuki berkata, operasi ditamatkan pada 6.30 petang selepas penilaian akhir mendapati tiada petunjuk baharu selain faktor cuaca dan risiko, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Carilamat.
Beliau berkata, operasi berkenaan itu bermula 9 Nov lepas setelah Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima laporan penemuan mangsa pertama di perairan Langkawi sehari sebelum itu.
“Setakat 12 tengah hari tadi, 43 mangsa berjaya ditemukan, terdiri daripada 14 mangsa terselamat (12 lelaki, dua wanita) dan 29 mangsa maut (15 lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan).
“Penemuan mangsa sepanjang operasi direkodkan di beberapa lokasi sekitar Pulau Singa Besar, Pulau Rebak Besar, Teluk Apau, barat Tanjung Belua dan Pulau Anak Datai,” katanya dalam kenyataan.
Zainudin berkata, semua mangsa yang ditemukan telah diserahkan kepada polis bagi tujuan pengecaman dan tindakan lanjut.
Sekiranya terdapat penemuan atau petunjuk baharu pihaknya akan menilai semula untuk mengaktifkan operasi Carilamat bagi mencari mangsa-mangsa yang masih hilang, tambahnya.
Menurut Zainudin, dalam operasi sembilan hari itu, lebih 300 pegawai dan anggota terlibat serta 22 aset digerakkan membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Perikanan.