Naikkan kompaun beban rakyat, mustahil PH terima, kata Anwar

Naikkan kompaun beban rakyat, mustahil PH terima, kata Anwar

Ketua Pembangkang berkata, pihaknya memohon masa untuk meneliti RUU itu supaya beberapa penekanan dapat dilihat kembali oleh kerajaan.

Anwar Ibrahim berkata, terdapat kelemahan dalam pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi menaikkan kadar penalti yang menyebabkan kerajaan dilihat seakan-akan terburu-buru berbuat demikian.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menegaskan mustahil bagi Pakatan Harapan (PH) menerima pindaan rang undang-undang (RUU) untuk menaikkan kompaun daripada RM1,000 kepada RM10,000 ke atas pengingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Beliau berkata, PH sama sekali tidak boleh menerima kenaikan kadar kompaun yang sangat membebankan rakyat.

“Kita mohon masa untuk meneliti setiap aspek dan paling penting kita tekankan ialah soal penambahan kompaun RM1,000 bagi rakyat itu sangat membebankan dan tidak boleh terima sama sekali.

“Cadangan Kementerian Kesihatan naik kompaun RM1,000 ke maksimum RM10,000 ini mustahil kita boleh terima,” katanya pada sidang media di Parlimen bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun mengumumkan sidang yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehari ke Isnin depan untuk membahaskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi menaikkan kadar penalti.

Anwar berkata, terdapat kelemahan dalam RUU itu yang menyebabkan kerajaan dilihat seakan-akan terburu-buru membuat pindaan.

Katanya, pembangkang memohon masa untuk meneliti RUU itu supaya beberapa penekanan dapat dilihat kembali oleh kerajaan.

“Pertama, soal kompaun yang membebankan, kedua penguatkuasaan dan ketiga kompaun bagi syarikat terlalu umum, termasuk persatuan, pertubuhan, parti dan sebagainya.

“Ini harus diberi penjelasan. Sebab itu kita mohon tangguhkan atau dibincang secara teliti.”

Sementara itu, Lim berkata, sekiranya SOP yang dibuat kerajaan gagal, ia harus bertanggungjawab, bukannya menyalahkan rakyat dan mengenakan kompaun membebankan.

Katanya, menaikkan kompaun bukan satu-satu caranya untuk menangani masalah Covid-19, sebaliknya kerajaan perlu memastikan tiada SOP dwistandard dan penganiayaan berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.