Sim calon pilihan menang di Batu Kawah

Sim calon pilihan menang di Batu Kawah

Bagi sesetengah pengundi, yang penting ialah calon, bukan parti.

DUN Batu Kawah bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan (dari kiri) Dr Kelvin Yii (DAP), Chai Kueh Khun (Parti Bumi Kenyalang), Dr Sim Kui Hian (GPS) dan Fong Pau Teck (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak).
KUCHING:
Terdapat desas-desus dalam kalangan pemerhati politik dan penduduk di Batu Kawah bahawa penyandang Dr Sim Kui Hian tidak kelihatan berkempen seperti calon lain.

Difahamkan, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu begitu sibuk mengendalikan pelbagai urusan, namun ini mungkin bukan faktor apabila pengundian diadakan pada 18 Dis ini.

Kali ini, Sim akan mempertahankan kerusinya dalam pertembungan empat penjuru menentang Dr Kelvin Yii daripada DAP, Chai Kueh Khun (Parti Bumi Kenyalang) dan Fong Pau Teck (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak).

Namun, pemerhati menganggap Sim adalah calon pilihan untuk kerusi itu.

Bagi seorang pengundi, Alfred Ngui, 45, apa yang penting ialah rekod prestasi Sim membawa kemajuan untuk Batu Kawah.

Katanya, Sim sudah melakukan yang terbaik untuk kawasan berkenaan dan hanya itu yang penting bagi dirinya.

Ngui berkata jika dulu, beliau pernah mengundi “parti dan bukannya calon” tetapi ini bukan lagi isunya susulan apa yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-14.

“Apa yang akan menjejaskan undi saya ialah 22 bulan bawah Pakatan Harapan. Mereka tidak dapat tunai janji manifesto dan ini membuatkan saya kecewa.

“Apa yang pasti saya tidak akan menyokong mana-mana parti pembangkang persekutuan lagi, tiada lagi DAP, cukuplah. Saya mengundi untuk GPS. Walaupun saya mahu mengundi pembangkang, saya akan mengundi parti tempatan.”

Seorang penghantar makanan, yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 40, juga berkata dia akan mengundi “calon yang tepat”.

“Anda tidak boleh hanya mengundi mengikut ketetapan parti kerana anda tidak tahu sama ada YB akan melompat. Ada baik dan buruknya, apa yang penting ialah perwatakan calon.”

Pesara Peter Crow, 65, bagaimanapun berkata, lebih banyak perlu dilakukan untuk kawasan itu, terutama mengenai tebatan banjir.

Katanya, pembangunan mesti memberikan manfaat kepada rakyat dan ini bermakna memberi rakyat kemahiran yang betul untuk memperoleh lebih banyak pendapatan dan bukannya projek prasarana semata-mata.

Jelasnya, dia jarang melihat Sim, sesuatu yang disifatkannya “biasa” bagi ahli politik di negeri itu.

“Saya lebih banyak lihat Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin) berbanding Sim.”

Crow berkata, dia berharap Sim akan “melakukan lebih banyak” daripada perspektif dasar sekiranya beliau dipilih lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.