
Dick Lembang Dugun dari Universiti Malaysia Sarawak berkata Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan memberikan ancaman terbesar kepada GPS di kawasan berkenaan.
“Terdapat beberapa ‘kerusi panas’ seperti Ngemah di mana GPS, yang sebelum ini Barisan Nasional Sarawak, menang dengan hanya 154 undi pada 2016. GPS meletakkan pendatang baharu, Anyi Jana. Ada kemungkinan ia boleh kehilangan kerusi ini,” kata Dugun.
“Satu lagi kerusi ialah Tamin, yang akan dipertahankan oleh Christopher Gira Sambang dari GPS dalam menentang Joseph Entulu Belaun, seorang tokoh terkenal dalam komuniti sebagai bekas Menteri Persekutuan.”

Malah Baleh, kerusi yang dipegang oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak mendiang James Masing, bukan kerusi yang selamat. Ia akan ditandingi oleh anak saudara Masing, Nicholas Kudi Jantai, tetapi Dugun berkata terdapat desas-desus mengatakan beliau tidak mendapat sokongan penuh akar umbi Parti Rakyat Sarawak.
Dugun berkata penerimaan calon adalah faktor utama dalam kalangan pengundi Iban, “faktor yang lebih besar daripada parti yang bertanding”. Beliau berkata PRS sebelum ini telah mencalonkan muka baharu di Lubok Antu “dan akar umbi tidak menerimanya. Parti itu kalah kepada calon Bebas Jugah Muyang”.
Beliau berkata terdapat sedikit rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat, khususnya mengenai isu seperti hak tanah adat.
“Mereka (Iban) tahu kepentingan pemilikan tanah. Isunya ialah birokrasi, terutamanya dalam soal mendapatkan hak milik tanah mereka. Di kawasan luar bandar, ramai orang Iban tidak berpuas hati dengan birokrasi dan ini boleh menjejaskan sokongan untuk GPS.”
Selain itu, katanya, terdapat lebih ramai pengundi muda pada pilihan raya kali ini berbanding lima tahun lalu, dan mereka lazimnya lebih bijak berpolitik berbanding pengundi yang lebih berusia.
“Pada masa sama, terdapat sokongan kepada PSB yang mencalonkan orang yang kuat di kawasan mereka seperti Joseph, bekas ADUN Marudi Sylvester Entri Muran dan Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat.”
Dugun berkata adalah lebih sukar bagi GPS untuk meraih undi Iban, terutamanya jika ia tidak menangani kebimbangan mengenai rasa tidak adil dan kesaksamaan sama ada dalam politik dan hak mereka.
“Kaum Iban adalah majoriti, jadi jika mereka merasakan mereka tidak dilayan secara adil, sukar untuk mendapatkan undi mereka,” katanya.