
Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Lazim berkata, kaunter diskaun yang dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merekodkan kutipan RM431,330 daripada 8,943 saman dan portal MyBayar mencatatkan RM3.4 juta daripada 74,312 saman dijelaskan orang ramai.
“Kami terpaksa menutup kaunter PDRM di KLCC pada 4.30 petang tadi dan orang ramai jangan risau kerana mereka boleh terus membayar saman di Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen yang mempunyai kaunter trafik serta melalui portal MyBayar yang dibuka 24 jam,” katanya selepas meninjau kaunter PDRM yang dibuka sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC semalam.
Polis menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 80% bermula 9 hingga 12 Dis ini, dengan tawaran itu tidak melibatkan kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan utama, kesalahan kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos.