
Bercakap kepada pemberita, Hishammuddin berkata kementerian itu “tidak boleh membenarkan walaupun satu sen wang kerajaan disalahgunakan” memandangkan keadaan ekonomi negara sekarang.
Beliau berkata isu sebegitu bukan sahaja akan menjejaskan perkhidmatan yang diberikan oleh cabang tentera yang berbeza, malah juga boleh menjejaskan semangat anggota.
“… Saya bimbang jika proses (perolehan) ini tidak diperbaiki, pembaziran dan ketirisan akan menjejaskan perancangan kita. Bukan untuk satu hari sahaja tetapi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya dalam sidang media pasca-Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di Wisma Perwira ATM, hari ini.
Hishammuddin turut memberi amaran kepada pembekal agar tidak melihat kementerian semata-mata dalam konteks mengaut keuntungan, sebaliknya menganggap mereka juga mempunyai tanggungjawab kepada rakyat.
Kementerian telah menghadapi banyak isu perolehan sebelum ini, antaranya kelewatan penghantaran dan dakwaan rasuah.
Bercakap di Dewan Rakyat semalam, Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata Malaysia akan menerima enam helikopter MD-530G pada suku pertama tahun depan – hampir lima tahun selepas kumpulan pertama dijangka tiba pada Julai 2017.
Bulan lalu, Hishammuddin berkata selepas kelewatan yang lama, tentera laut akhirnya akan menerima kapal tempur pesisir (LCS) pertamanya daripada program itu pada 2025.
Bernilai lebih RM9 bilion, projek itu telah dianugerahkan pada 2014 dengan tempahan untuk pembinaan enam LCS, dengan yang pertama sepatutnya diterima pada April 2019.