
Peguam Rosmah, Jagjit Singh, memberitahu hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa status MySejahtera isteri bekas Perdana Menteri itu masih berwarna jingga kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
“Statusnya telah disahkan oleh Pendaftar Mahkamah awal hari ini,” katanya, sambil menambah bahawa Rosmah menghadiri perbicaraan hari ini dan hanya menunggu di dalam kereta.
Mahkamah hanya membenarkan individu yang berstatus “berisiko rendah” memasuki pekarangannya.
Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram sebelum ini dijadual meneruskan pemeriksaan balasnya terhadap Rosmah hari ini.
Rosmah sedang dibicarakan atas tiga tuduhan rasuah kerana didakwa meminta RM187.5 juta daripada ahli perniagaan Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan membantu syarikatnya, Jepak Holdings Sdn Bhd, mendapatkan projek panel solar untuk 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan langsung dengan Kementerian Pendidikan.
Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.