
ADUN Semambu Lee Chean Chung dan Pengarah Eksekutif CETDEM Anthony Tan Kee Huat masing-masing berkata, kerajaan harus berpegang pada penetapan dasar yang baik dan membenarkan industri membuat keputusan mengenai kemajuan teknologi untuk diguna pakai.
Lee, yang juga Bendahari PKR berkata, kekurangan libat urus daripada pesaing boleh menjadi sebab kerajaan mengumumkan semakan rancangannya.
Kerajaan menubuhkan DNB awal tahun ini sebagai agensi yang akan membina dan melancarkan rangkaian 5G negara. Bagaimanapun, monopoli projek itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan syarikat telekomunikasi dan penggiat industri.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mengumumkan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusannya menjadikan DNB sebagai pemborong tunggal 5G.
Tan berkata, kerajaan mendapat pengajaran bahawa pasaran bebas tidak akan menerima harga yang ditetapkan oleh agensi kerajaan yang mungkin tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran untuk mengendalikan rangkaian 5G yang maju.
Kerajaan tidak sepatutnya “berniaga dalam perniagaan”, katanya.
“Pasaran bebas telah menetapkan harga lelongan bagi jualan jalur lebar 3G dan 4G oleh kerajaan dan mengawal sendiri harga pakej 4G,” katanya.
“Syarikat telekomunikasi tempatan cukup matang dengan pengalaman dan sokongan teknologi yang mencukupi untuk menyediakan rangkaian 5G mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan pada harga rundingan yang baik daripada pembekal terbaik.”
Tan berkata, Annuar harus menunaikan janjinya bahawa 5G akan tersedia di Putrajaya tahun ini.
“Masa semakin suntuk,” katanya.
Lee berkata, DNB tidak perlu membentangkan laporan tahunannya di Parlimen dan itu menunjukkan “kekurangan ketelusan dan kewajipan peraturan untuk memastikan pematuhan DNB terhadap penyata kewangan yang sihat, penetapan harga yang adil, kualiti perkhidmatan dan daya tahan rangkaian, antara lainnya”.
Dengan memilih pembekal tunggal di bawah skim pembiayaan pembekal, DNB akan menyebabkan situasi terikat dalam jangka panjang.
“DNB perlu bergantung kepada jalur lebar penyampaian, keupayaan dan hala tuju teknologi pembekal tunggal tanpa alternatif.
“Ini akan meletakkan DNB dalam situasi yang sangat mencabar,” katanya.