
Azizul berusia 30 tahun juga meminta pengundi tidak melihatnya sebagai seorang yang mewarisi legasi dan populariti terutama ketika bertanding di kawasan arwah bapanya, Adenan Satem.
Bercakap dalam sesi temu bual bertajuk “Pilihan Raya Negeri Sarawak – Harapan Calon Muda” Azizul mengakui dia menjadi taruhan untuk menang di DUN berkenaan.
“Ya, tekanan dan jangkaan untuk saya menang di sini kerana sejarah keluarga saya di Tanjong Datu. Tetapi, saya percaya bahawa saya boleh lakukan secara sendiri dan saya mahu dinilai dengan cara itu.
“Saya mahu keluar dari bayang-bayang dan melakukannya untuk diri sendiri bagi membuktikan saya mampu melakukannya.
“Ketika bersekolah, saya sangat aktif bersukan. Saya menyertai banyak kejohanan besar oleh itu tekanan dan jangkaannya sama. Saya dah biasa,” katanya menurut laporan Dayak Daily
Walau bagaimanapun, dia tegas mahu meneruskan legasi bapanya.
Meskpin PRN ini adalah pilihan raya pertamanya, Azizul yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, dia sudah lama membantu bapanya berkhidmat di Tanjong Datu.
“Sepanjang hayat arwah, kami mempunyai perancangan, berjaya membangunkan dan membawa DUN ini ke satu tahap sepertimana misi bapa dan misi Ketua Menteri Abang Johari iaitu “Sarawak Maju 2030″,” katanya.