
Dalam kenyataan, Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata, larangan kedua-dua upacara kemuncak itu adalah satu diskriminasi yang boleh memudaratkan toleransi kaum dan agama di negara ini.
Ini kerana katanya, melarang acara berkenaan diadakan seolah-olah berniat untuk menghalang sambutan Thaipusam pada 18 Jan depan.
“Baru-baru ini, kerajaan membenarkan banyak lagi program keramaian yang dianjurkan pelbagai pihak. Maka adalah tidak wajar untuk membatalkan upacara kemuncak Thaipusam. Ini dilihat sebagai satu diskriminasi yang boleh memudaratkan toleransi kaum dan agama di negara kita.
“Sebagai contoh, saya menerima SMS daripada kerajaan semalam. Kandungannya adalah seperti berikut: ‘RM0 KKMM: Jom ramai-ramai memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC, 9 hingga 12 Dis 2021 dengan pelbagai aktiviti menarik’.
“Bukankah SMS ini bertujuan untuk menjemput rakyat jelata datang ‘ramai-ramai’ untuk program yang dianjurkan oleh kerajaan sendiri?” soalnya.
Beliau berkata, kebenaran bagi program dihadiri orang awam itu jelas membuktikan amalan dwistandard oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kenapakah MKN dan KKM boleh membenarkan program ini? Mana SOP untuk mengawal penularan varian baharu Covid-19? Bukankah ini membuktikan amalan ‘double standard’?”
Justeru, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) Thaipusam 2022 dengan segera bagi membenarkan perarakan kereta pedati berhias dan kavadi diadakan.
Pada 7 Dis, Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique memberitahu Dewan Rakyat, SOP Thaipusam 2022 sudah lengkap selepas rundingan dibuat dengan 10 wakil pihak agama Hindu di seluruh negara, bersama MKN dan KKM.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perarakan kereta pedati berhias dan kavadi tidak dibenarkan sama sekali sebagai langkah pencegahan varian baharu Covid-19.