
Menurut laporan Dayak Daily, Presiden PBK Voon Lee Shan, berkata janji berkenaan antara satu daripada sembilan misi yang digariskan, andai partinya berjaya menang.
Janji lain termasuk subsidi deposit bagi pembeli rumah pertama; subsidi pembelian kenderaan pertama; duit poket dan geran perubatan; pendidikan tinggi percuma; peruntukan tanah kepada perusahaan kecil dan sederhana bagi pertanian; bekalan air, elektrik dan sambungan internet kepada semua kediaman; selain kediaman untuk semua rakyat Sarawak.
Voon dipetik berkata, visi partinya adalah memerdekakan Sarawak dari Malaysia secara aman.
“Strategi untuk mencapainya adalah dengan membawa keluar (Sarawak) secara aman dari Persekutuan Malaysia seperti dilaksanakan Singapura, menerusi pengisytiharan kemerdekaan unilateral oleh kerajaan PBK,” katanya.
Katanya, satu lagi cara adalah dengan memohon deklarasi mahkamah bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak sah.
PBK bertanding pertama kali dalam PRN12 Sarawak dan meletakkan calon di 73 daripada keseluruhan 82 kerusi.