
Dalam kenyataan Yap berkata, sangat memalukan apabila Chong berpindah ke kawasan pilihan raya berbeza kerana penduduk Kota Sentosa layak menerima kad laporan daripadanya, lebih-lebih lagi Chong pernah berkhidmat dalam kerajaan dan menjadi timbalan menteri selama 22 bulan.
Chong, ADUN Kota Sentosa selama empat penggal, akan bertanding di Padungan pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
“Saya berikrar untuk memberikan pengundi di kawasan saya kad laporan penuh yang memperincikan semua yang saya telah capai atau belum,” kata Yap.
Beliau juga berikrar untuk bersikap telus dan berusaha memastikan penyertaan, pendapat dan konsensus umum orang ramai apabila melaksanakan projek mega di Kota Sentosa.
“Kita boleh mempunyai idea mudah demokrasi langsung seperti pengundian, mesyuarat dewan bandaran dan mesyuarat dalam talian untuk mendapatkan maklum balas orang ramai tentang bagaimana cara masalah diselesaikan,” katanya.
DUN Kota Sentosa akan menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan Yap, Michael Kong daripada DAP, Tan Kok Chiang daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Lue Cheng Hian daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Lau Pang Heng daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Hari mengundi PRN Sarawak ditetapkan 18 Dis.