Addy Kana diperintah bayar cukai pendapatan RM1.4 juta

Addy Kana diperintah bayar cukai pendapatan RM1.4 juta

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar faedah pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi.

Pada 1 Okt lalu, Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN dengan menamakan Zaidi Kanapiah bagi tunggakan cukai itu selama dua tahun.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan ahli perniagaan Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana, membayar cukai pendapatan berjumlah RM1,427,915.45 kepada Kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Maslinda Selamat, pada pengurusan kes secara dalam talian (e-review) selepas penghakiman ingkar kehadiran difailkan oleh LHDN.

Berdasarkan semakan dalam sistem mahkamah (e-filing), Zaidi selaku defendan didapati telah gagal memfailkan memorandum kehadiran walaupun serahan writ saman dan pernyataan tuntutan telah matang pada 24 Nov lalu dan mahkamah hari ini merekodkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap defendan (Zaidi) dengan kos RM1,500.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar faedah pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi.

Pada 1 Okt lalu, Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN dengan menamakan Zaidi, 37, bagi tunggakan cukai itu selama dua tahun.

Berdasarkan pernyataan tuntutan diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), kerajaan mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.

“Oleh kerana defendan telah gagal membayar keseluruhan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10% berjumlah RM38,002.57 dan RM91,807.92 telah dikenakan dan ditambahkan ke atas keseluruhan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) itu,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Dakwa plaintif, defendan masih gagal membayar kepada plaintif keseluruhan cukai pendapatannya yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) termasuk kenaikan-kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM1,427,915.45.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM1,427,915.45, faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.