Hannah Yeoh rakyat patriotik, kawan hebat, kata Syed Saddiq

Hannah Yeoh rakyat patriotik, kawan hebat, kata Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar itu mempertahankan Ahli Parlimen Segambut yang dikritik kerana memakai selendang ketika melawat sebuah masjid minggu lalu.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kritikan terhadap Hannah Yeoh tidak adil kerana beliau kerap melawat masjid di kawasannya sejak 13 tahun lalu.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil menyokong Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang dikritik kerana memakai selendang ketika melawat sebuah masjid di ibu negara minggu lalu.

Syed Saddiq mempertahankan Yeoh daripada kritikan terhadapnya sejak lawatan itu, dengan menyifatkan beliau sebagai “rakyat Malaysia yang hebat, patriotik dan bahkan kawan yang lebih hebat”.

“Beberapa hari ini memang sukar untuk Hannah,” katanya di catatan Facebook.

Beliau berkata, Yeoh dilabelkan sebagai ultra-Kristian yang mahu menukar pegangan umat Islam dan orang Cina tanpa prinsip yang akur kepada orang Islam.

“Dalam banyak perbualan saya dengan Hannah, saya tidak pernah merasakan beliau mahu menukar agama saya kepada Kristian atau beliau seorang pak turut.

“Beliau ialah Hannah Yeoh. Jujur kepada dirinya. Adakah beliau penganut Kristian yang alim? Ya, tetapi adakah itu menyebabkan beliau kurang sebagai rakyat Malaysia? Tidak.”

Hannah Yeoh memakai selendang ketika melawat sebuah masjid di kawasan Parlimennya minggu lalu. (Gambar Facebook)

Katanya, umat Islam dan penganut Kristian turut mendukung kepentingan toleransi serta penerimaan.

Beliau berkata, Yeoh yang dikenalinya “sangat rajin” dan kritikan terhadapnya baru-baru ini tidak adil kerana beliau kerap melawat masjid di kawasannya sejak 13 tahun lalu.

“Kita boleh menjadi orang Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan, penganut Kristian, Hindu, Buddha dan masih merupakan rakyat Malaysia yang bangga.

“Jangan biarkan sesiapa pun memutuskan ikatan suci kenegaraan yang meraikan kepelbagaian dan kesederhanaan.

“Jangan berputus asa Hannah. Kami bersama anda.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.