Tenaga kerja asing masih penting buat negara, kata MEF

Tenaga kerja asing masih penting buat negara, kata MEF

Majikan-majikan mendapati sukar untuk mengambil rakyat tempatan bagi pekerjaan 4D.

Sektor perladangan, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan tidak dapat beroperasi pada tahap optimum tanpa tenaga kerja asing, kata Presiden MEF Syed Hussain Husman.
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan mengambil kira keperluan beberapa industri terhadap buruh asing walaupun ketika usaha sedang digiatkan bagi memastikan rakyat tempatan mendapat pekerjaan.

Presiden MEF Syed Hussain Husman berkata, majikan dalam sektor perladangan, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan mengalami kekurangan pekerja yang teruk dan tidak dapat beroperasi pada tahap optimum tanpa tenaga kerja asing.

Katanya kepada FMT, majikan-majikan mendapati sukar untuk mengambil rakyat tempatan bagi pekerjaan yang dipanggil 4D (kotor, sukar, berbahaya dan merendahkan).

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Menteri Sumber Manusia M Saravanan bahawa kerajaan akan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Namun kata Syed Hussain, negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja tempatan bagi sesetengah pekerjaan.

Beliau menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula hasrat melanjutkan pembekuan pengambilan pekerja asing.

“Walaupun MEF menyokong gesaan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, terutamanya yang berkemahiran rendah ketika Malaysia menuju penggunaan teknologi dan automasi, peralihan itu harus tepat pada masanya dan dipantau bagi mengurangkan gangguan kepada operasi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, kadar penggunaan automasi dan mekanisasi tidak menggalakkan disebabkan halangan seperti kos dan kepakaran.

“Lebih 98% syarikat berdaftar di Malaysia adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan akan memerlukan masa dan sumber untuk menerima pakai teknologi baharu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, industri makanan dan minuman, serta pembuatan sedang bergelut untuk mendapatkan tenaga kerja.

“Ini menyumbang kepada ketegangan dalam harga,” katanya, merujuk kepada kenaikan harga barangan makanan baru-baru ini.

Beliau mengingatkan Putrajaya supaya tidak campur tangan dalam pasaran kerja, dengan berkata kerajaan, sebagai agensi yang beroperasi di luar pasaran, tidak maklum mengenai situasi bekalan dan permintaan.

“Cara terbaik (untuk menanganinya) adalah dengan membiarkan pasaran berfungsi,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.