
Ciri itu membolehkan peniaga menerima notifikasi suara masa nyata bagi setiap transaksi yang berjaya melalui DuitNow QR tanpa sebarang caj dan peranti tambahan seperti ‘soundbox’.
Melaluinya, peniaga dapat mengurangkan risiko terlepas notifikasi pembayaran, menjimatkan kos operasi dan meningkatkan keyakinan terhadap pembayaran digital.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan/Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram, berkata pengenalan ciri itu adalah sebahagian usaha pihaknya menyediakan penyelesaian relevan dan inklusif kepada pelanggan.

Katanya, selain notifikasi suara ia juga membolehkan sehingga lima juruwang menerima pemberitahuan transaksi secara serentak pada peranti sedia ada sekali gus menjadikan operasi lebih telus dan teratur.
“Pada masa sama, pemilik perniagaan akan turut menerima semua pemberitahuan urus niaga yang telah disempurnakan,” katanya dalam perasmian di pekarangan Menara Bank Islam, hari ini.
Payment to Voice tersedia untuk pengguna Android, iOS dan Huawei.
Dilancarkan pada Julai 2021, BIMB Biz memudahkan urusan perbankan digital perniagaan mikro serta PKS termasuk kutipan pembayaran pelanggan melalui QR DuitNow, pengurusan akaun dan semakan rekod transaksi secara telus, teratur dan cekap.
Sehingga Oktober lalu, BIMB Biz merekodkan kira-kira 15,000 pengguna aktif dengan amaun transaksi mencecah RM1.2 bilion.
Mizan berkata, dengan pengenalan Payment to Voice, Bank Islam menyasarkan pertumbuhan sebanyak 50% dalam jumlah pengguna BIMB Biz bagi tempoh 12 bulan akan datang, khususnya dalam kalangan peniaga mikro seperti pengusaha gerai dan warung, pasar malam, kios bazar serta amil zakat.
“Bank Islam percaya teknologi harus memudahkan urusan peniaga dan bukan menambah beban. Setiap peniaga, tanpa mengira saiz atau lokasi perniagaan berhak menikmati penyelesaian yang praktikal, selamat dan mampu milik.
“Payment to Voice direka untuk memenuhi keperluan sebenar pengusaha perniagaan mikro dan PKS dengan menerapkan elemen yang mengawal kos operasi, meningkatkan keselamatan dan membantu mereka merekodkan urus niaga secara teratur,” katanya.
Katanya, penambahbaikan pada aplikasi BIMB Biz itu merupakan salah satu usaha dalam memastikan pelanggan Bank Islam bersedia untuk menyertai dan bersaing dalam ekonomi digital.