Sekolah daif kerana kelemahan iltizam politik, kata gerakan belia

Sekolah daif kerana kelemahan iltizam politik, kata gerakan belia

Keadaan sekolah sebegitu mengakibatkan pelajar kurang minat mengambil bahagian dalam pembelajaran, kata gerakan belia.

Kementerian Pendidikan baru-baru ini mendedahkan bahawa 1,311 sekolah di negara ini dalam keadaan daif. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Lebih seribu sekolah di negara ini berada dalam keadaan daif, sebahagian besarnya disebabkan oleh kelemahan iltizam politik dan kecekapan dalam Kementerian Pendidikan (KPM), kata gerakan Belia Malaysia untuk Pendidikan (MYER).

Pengarah Pembangunannya, Rifqi Faisal berkata, keadaan fizikal sekolah yang buruk sudah lama menjadi isu yang mendesak.

“Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila perhatian terhadap isu ini baru timbul,” katanya merujuk kepada pendedahan KPM baru-baru ini bahawa 1,311 sekolah dalam keadaan daif.

“Keadaan sekolah yang daif menjejaskan pelajar dan mengurangkan minat mereka untuk mengambil bahagian dalam pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan bukan isunya kerana sejumlah besar wang diperuntukkan untuk pendidikan. Sebaliknya, penggunaan dana yang tidak betul menjadi masalah.

Beliau juga menyebut kurangnya kesegeraan KPM dalam menguruskan sekolah semasa wabak, dengan tiada pelan jelas bagaimana pendidikan dapat disampaikan kepada pelajar ketika sekatan dilaksanakan.

Ketiadaan tindakan ini, katanya, mengakibatkan para guru terpaksa merangka pelan sendiri untuk pengajaran.

Dengan laporan 100 hari pertama KPM bawah pentadbiran semasa, Rifqi menggesa pelan jangka panjang dirangka, bukan sahaja untuk membaiki dan menyelenggara sekolah, malah memacu pendigitalan sistem pendidikan.

Tambahnya, ini penting untuk memperkasakan pelajar.

“Reformasi perlembagaan diperlukan bagi memperkasakan pelajar untuk berfikir sendiri supaya mereka boleh membawa perubahan bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.