Disyaki dera kanak-kanak sampai mati, pasangan kekasih ditahan

Disyaki dera kanak-kanak sampai mati, pasangan kekasih ditahan

Polis berkata pemeriksaan awal oleh hospital terbabit mendapati mangsa sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan masing-masing di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Sepasang kekasih yang didakwa mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga meninggal dunia, ditahan semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Dzulkhairi Mukhtar, polis Johor Bahru Selatan (JBS) menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) mengenai kematian kanak-kanak terbabit, kira-kira 12.20 tengah hari.

“Pemeriksaan ke atas badan mangsa terdapat kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

“Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Johor menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan ‘poly pipe’ di atas sofa dan kesan darah (swab) di rumah suspek yang kemudiannya semua barang kes dirampas,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Dzulkhairi berkata pemeriksaan awal oleh hospital terbabit mendapati mangsa sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, siasatan awal juga mendapati mangsa tinggal bersama dua suspek iaitu ibu kandung dan bapa angkatnya, selain seorang adik dan kakak di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri.

Kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan masing-masing di Taman Nusa Bestari dan HSAJB bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau yang sama iaitu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah, selain akan dimohon reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Proses bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini selepas keputusan ujian calitan Covid-19 mangsa diperolehi, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.