
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, pihaknya akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini.
“Mahkamah sebelum ini menetapkan untuk memulangkan sementara pasport Rosmah untuk ke Singapura, dengan syarat Rosmah hanya boleh ke Singapura dari 22 Okt hingga 21 Nov dan pasport wajib dipulangkan ke mahkamah selewat-lewatnya 6 Dis.
“Malangnya, Rosmah gagal hadir perbicaraan kesnya kerana masih berada di luar negara. Terang-terang beliau telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan terhadap sistem keadilan negara.”
Kelmarin, Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar sambungan hujahan rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.
Rosmah sepatutnya balik pada 21 Nov lalu, tetapi peguam Jagjit Singh hanya memaklumkan ketidakhadiran anak guamnya 10 minit sebelum mahkamah bersidang.
Jagjit dilaporkan berkata, anak guamnya masih berada di Singapura dan mengakui ia merupakan pelanggaran terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 15 Okt lalu.
Pada 15 Okt lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Najib Razak itu supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura untuk menemani anaknya bersalin.