
Perunding perancangan pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, Ketua Menteri Abang Johari Openg sepatutnya berbincang dengan pakar terlebih dahulu bagi mengelak sesuatu yang sia-sia.
Abang Johari baru-baru ini berkata, Sarawak merancang untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik yang akan dikendalikan oleh Hornbill Skyways, syarikat penerbangan milik kerajaan.
Langkah ini, katanya, akan merancakkan ekonomi negeri melalui eksport produk pertanian, selain memenuhi permintaan perjalanan individu dan pelancongan luar bandar menerusi Lapangan Terbang Bebuling STOLport, yang dianggarkan menelan belanja RM108 juta.

Rosli berkata, beliau tidak dapat melihat daya tarikan unik syarikat penerbangan baharu berpangkalan di Bebuling, yang disifatkannya sebagai “destinasi yang langsung tidak dikenali” dengan potensi pasaran yang kecil.
“Saya cadangkan Ketua Menteri dapatkan nasihat pakar mengenai masalah dan isu berkaitan kesalinghubungan udara di Sarawak,” katanya kepada FMT.
“Tanpa kefahaman yang jelas tentang masalah ini, syarikat penerbangan baharu mungkin langsung tiada gunanya.
“Pada pendapat saya, pesawat harus ditempatkan di lapangan terbang terpencil seperti Bario, Ba’kelalan dan Long Pasia supaya perkhidmatan awal pagi boleh ditawarkan kepada penumpang yang ingin ke Miri atau Sibu.”
Katanya, peruntukan perkhidmatan udara sebegitu akan dapat lebih memenuhi permintaan mereka yang berada di kawasan terpencil kerana ia lebih sesuai dengan jadual harian mereka, dan mungkin juga berguna ketika kecemasan.
Bebuling “bukan lokasi terpencil”, menurut Rosli.
Merujuk kepada kenyataan Ketua Menteri tentang menjalankan perkhidmatan ke destinasi serantau, Rosli berkata: “Adakah ia akan jadi satu lagi syarikat penerbangan tambang rendah? Apa bezanya dengan syarikat penerbangan sedia ada?”
Katanya, Bebuling mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti lapangan terbang Tanjung Manis, “yang gagal menarik mana-mana syarikat penerbangan atau perkhidmatan”.
Bagaimanapun, seorang lagi perunding, Goh Bok Yen, mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas usaha “mengukuhkan lagi ekonomi negeri” dengan mengoptimumkan sumber dimiliki Sarawak.

“Terdapat banyak sumber bernilai tinggi di Sarawak. Sumber ini akan dapat bergerak dengan cepat dengan peningkatan kekerapan dalam pergerakan fret melalui syarikat penerbangan yang berasingan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu juga akan menyumbang kepada pelancongan.
Katanya lagi, kerajaan persekutuan perlu membantu negeri dengan membina dan menyelenggara lapangan terbang itu.
“(Kerajaan) negeri kemudian boleh menumpukan sumber kewangannya kepada operasi. Ini pasti akan membantu menjadikan operasinya lebih berdaya maju dari segi ekonomi.”