Rayuan kes SRC: Permohonan Najib kemuka bukti baharu didengar 7 Dis

Rayuan kes SRC: Permohonan Najib kemuka bukti baharu didengar 7 Dis

Bekas Perdana Menteri itu memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan keterangan secara lisan diambil daripada Ketua Pesuruhjaya dan pegawai penyiasat SPRM serta saksi lain berhubung kes itu.

Mahkamah Rayuan dijadual menyampaikan keputusan berhubung rayuan Najib Razak untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara dalam kes rasuah SRC International pada 8 Dis ini.
KUALA LUMPUR:
Permohonan Najib Razak untuk membenarkan keterangan baharu dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd akan didengar sehari sebelum Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusannya.

Semakan ke atas jadual kes mahkamah hari ini menunjukkan pendengaran itu ditetapkan pada 7 Dis.

Perkara itu turut disahkan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram ketika dihubungi Bernama hari ini.

Difailkan pada 1 Dis, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein, yang juga saksi pendakwaan ke-57 dalam kes itu serta mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Najib, 68, berkata, permohonan itu dibuatnya tanpa berlengah-lengah sebaik sahaja dimaklumkan serta mengumpul semua maklumat dan dokumen diperlukan.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa maklumat sedemikian tidak ada atau tidak diperoleh semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi dan semasa Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kes berkenaan, oleh itu beliau memohon mahkamah memutuskan berhubung permohonan itu sebelum menyampaikan keputusannya.

Najib berkata, beliau membuat permohonan itu berikutan kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov lepas mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1MDB, antaranya dari Singapura, yang menyatakan kerajaan negara itu telah memulangkan wang USD15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki Tawfiq Ayman, iaitu suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz.

Katanya, pada Oktober dan Disember 2020, artikel yang diterbitkan portal berita dalam talian melaporkan Zeti dan keluarganya menerima berjuta-juta dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, termasuk dana dikaitkan dengan 1MDB.

Beliau mendakwa peguamnya pada 20 Jan 2021 menulis surat kepada Monetary Authority Singapore (MAS) dan CAD untuk mendapatkan pengesahan serta dokumentasi berkaitan akaun CEIL, Iron Rhapsody Ltd, Jho Low serta Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC) dan prosiding undang-undang yang diambil terhadap penyitaan harta milik mereka.

Pada 24 Mac lalu, Najib berkata, peguamnya menerima e-mel daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial yang menolak permohonan peguamnya dan beliau gagal mendapatkan bukti yang kini telah disahkan secara boleh dipercayai melalui kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov lalu.

Pada 23 Nov, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan Najib dan pada hari sama, beliau memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya itu kerana akan berada di Singapura sehingga 5 Dis.

Bagaimanapun pada hari berikutnya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.