Moratorium 15 tahun atas kelulusan ladang hutan baharu

Moratorium 15 tahun atas kelulusan ladang hutan baharu

Sebelum moratorium dikenakan, kerajaan negeri yang ingin meneruskan pembangunannya perlu melaksanakan perundingan secara terperinci dengan KETSA, kata PM.

Majlis Tanah Negara memutuskan bahawa semua kerajaan negeri mesti melaksanakan langkah penguatkuasaan dan penyelesaian ke atas penerokaan haram selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan mengenakan moratorium 15 tahun ke atas kelulusan ladang hutan baharu dalam hutan simpan kekal di Semenanjung.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-79 yang diadakan secara maya semalam, dihadiri menteri persekutuan, Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Katanya, pada masa ini terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam hutan simpan kekal di negara ini yang masih belum diluluskan bagi kegunaan mana-mana syarikat.

“Sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, kerajaan negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu melaksanakan perundingan secara terperinci dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) bagi memastikan syarikat-syarikat yang akan dilantik mematuhi apa-apa syarat yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi serta lain-lain perundangan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Mesyuarat itu turut dipersetujui bahawa Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 akan dibentangkan pada sesi pertama Parlimen tahun depan.

“RUU ini hanya akan terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing,” kata Ismail.

Turut diputuskan bahawa semua kerajaan negeri mesti melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian ke atas penerokaan haram di negeri masing-masing selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.