Kenapa salahkan guru beri pandangan, PH persoal Kementerian Pendidikan

Kenapa salahkan guru beri pandangan, PH persoal Kementerian Pendidikan

Ia susulan laporan bahawa beberapa orang guru telah dipanggil oleh Unit Integriti KPM kerana mengeluarkan pendapat kritikal agar KPM menambah baik perkhidmatan.

Maslee Malik berkata, isu yang dibangkitkan oleh guru-guru yang terlibat bukanlah isu politik, salah laku (pecah amanah) mahupun gangguan seksual yang mampu menggugat profesionalisme seorang guru.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) memandang serius laporan menyatakan terdapat beberapa guru yang dipanggil Unit Integriti Kementerian Pendidikan (KPM) kerana mengeluarkan pendapat kritikal.

Pengerusinya, Maszlee Malik, berkata isu dibangkitkan oleh guru-guru yang terbabit bukanlah isu politik, salah laku (pecah amanah) mahupun gangguan seksual yang mampu menggugat profesionalisme seorang guru.

“Isu yang dibangkitkan adalah masalah asas sebenar yang berlaku di peringkat bawahan dan diangkat oleh guru-guru terlibat supaya pihak atasan lebih cakna untuk melakukan penambahbaikan.

“Malangnya KPM telah mengambil tindakan seolah-olah guru-guru terlibat melakukan kesalahan besar sehingga mereka dikenakan tindakan punitif,” katanya dalam satu kenyataan.

Maszlee berkata, JKPPH mencadangkan supaya KPM bersikap lebih terbuka serta menyediakan saluran khas bagi membolehkan guru-guru menyatakan pandangan berhubung permasalahan mereka.

Katanya, saluran yang disediakan nanti membolehkan guru menyampaikan pandangan mahupun kritikan kepada KPM untuk diambil tindakan.

“Di samping itu JKPPH juga mencadangkan agar para guru dapat menyalurkan juga pendapat dan aduan mereka kepada JK Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia agar JK Pilihan tersebut dapat membawanya ke pihak KPM,” katanya.

Ketika pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tidak dimaklumkan mengenai perubahan manual terbaharu PdPR 2.0, sekali gus mengundang keluhan ramai guru.

Kekecewaan guru itu terbukti apabila ramai yang turut menyuarakan keluhan mereka terhadap PdPR 2.0 di media sosial.

Di bawah PdPR 2.0, proses pembelajaran adalah mengikut jadual penuh, sama seperti jadual di sekolah tetapi dengan ciri baru yang melibatkan tutorial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.