Roti canai RM4, KPDNHEP belum jumpa bukti

Roti canai RM4, KPDNHEP belum jumpa bukti

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata mereka masih menyiasat kesahihan aduan itu selepas didedahkan oleh Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).

KPDNHEP masih tidak menjumpai lokasi premis yang dikatakan menjual roti canai pada harga RM4 sekeping, menurut Azman Adam. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) belum menemui bukti berhubung dakwaan roti canai yang dijual pada harga RM4 sekeping di Langkawi, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Penguatkuasanya Azman Adam, mereka masih lagi menyiasat mengenai kesahihan aduan berkenaan selepas menerima maklumat mengenai isu berkenaan.

Katanya, mereka tidak menemui sebarang bukti di premis itu seperti yang diadukan.

“Setakat petang tadi (semalam), kami masih tidak menjumpai di manakah lokasi premis yang dikatakan menjual roti canai RM4 itu.

“Pegawai penguat kuasa kami masih lagi cuba mengesan aduan itu termasuk di beberapa lokasi lain.

“Kita akan mendapatkan maklumat daripada orang yang membuat aduan itu supaya kita dapat jalankan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan Op Menu di Kota Warisan, lapor Utusan Malaysia.

Azman berkata, mereka tidak menolak kemungkinan mengenai kesahihan aduan terbabit dan ia juga mungkin timbul akibat berlakunya kekeliruan.

Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) semalam memaklumkan mereka menerima aduan berhubung roti canai yang dijual pada harga RM4 sekeping di lokasi pelancongan terkenal itu.

Setiausahanya Mohd Yusrizal Yusoff berkata, harga itu tidak masuk akal kerana berdasarkan maklumat daripada pengguna, kedainya hanya terletak di tepi jalan.

Harga roti canai itu adalah antara 100 aduan yang diterima CAKE khususnya berkaitan harga makanan serta bahan mentah di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.