
Pengurus Pemasaran Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (BESTUBA), Siti Nurul Norzahera Che Mohd Zaher, berkata peningkatan jumlah pelancong memberangsangkan sejak projek pembangunan berkenaan siap.
Katanya, berdasarkan data operasi bot BESTUBA, jumlah pelancong dibawa masuk ke pulau itu antara 6,000 hingga 7,000 sebulan, dengan peningkatan ketara pada musim cuti sekolah dan hujung minggu.
“Pada hari bekerja, kemasukan pelancong agak perlahan kerana mungkin disebabkan ramai penjawat awam dan pekerja swasta masih bertugas.
“Namun, apabila hujung minggu, suasana di jeti dan kampung jadi meriah dengan kehadiran pelancong dari pelbagai negeri,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Norzahera berkata, antara projek di bawah Kampung Angkat Madani (KAM), termasuk pembinaan enam kiosk makanan di kawasan instagrammable Kampung Selat Bagan Nyiur, pemasangan papan tanda dan bantuan keusahawanan kepada komuniti seperti kiosk makanan.
“Kiosk makanan ini menjadi tumpuan pelancong untuk berehat dan menjamu selera menu tradisi masyarakat, sambil berpeluang menikmati pemandangan indah.

“Ramai bergambar dengan replika rama-rama dan papan tanda yang baru sahaja siap serta memuat naik di media sosial, sekali gus memberi promosi percuma kepada Pulau Tuba,” katanya.
Ceburi perniagaan kecil
Peluang ini, katanya, turut mendorong ramai anak muda tempatan menceburi bidang perniagaan kecil seperti menjual minuman, makanan ringan dan cenderamata.
Sementara itu, pemandu pelancong, Muhammad Aswat Azdha Idris, 30, berkata penambahan infrastruktur seperti papan tanda arah dan maklumat kampung membantu pelancong meneroka Pulau Tuba dengan lebih mudah.
“Dulu ramai pelancong telefon saya sebab sesat, tak tahu jalan ke kampung mana. Sekarang semua sudah berubah, mereka dengan mudah boleh jelajah pulau ini.
“Ada papan tanda yang jelas dan cantik. Pelancong boleh jalan sendiri, tak perlu buka Google Maps,” katanya sambil menunjukkan papan tanda baharu di Kampung Selat Bagan Nyiur.

Katanya, kemudahan baharu itu bukan sahaja menjadikan Pulau Tuba lebih tersusun, malah menaikkan imej pulau warisan itu sebagai destinasi pelancongan komuniti unik dan mudah diakses.
“Pelancong suka sebab mereka dapat rasa suasana kampung asli dengan kampung dan pantai yang belum terusik banyak dengan pembangunan moden. Itu yang buat ramai nak datang lagi,” katanya.
Bagi pemilik motel dan chalet, Faridzuan Che Hamid, 54, pelaksanaan KAM membuka lembaran baharu kepada pengusaha penginapan apabila kadar tempahan meningkat mendadak sejak setahun kebelakangan ini.
“Kalau dulu kadang-kadang seminggu baharu penuh dua bilik, sekarang hujung minggu boleh habis semua bilik. Projek KAM ini betul-betul bawa perubahan,” katanya.
Faridzuan berkata, antara projek memberi impak besar ialah pemasangan 100 unit lampu solar di beberapa kampung yang menjadikan suasana malam lebih cerah dan selamat untuk pelancong beraktiviti.
“Dulu waktu malam memang gelap, pelancong takut nak keluar. Sekarang boleh memancing, berjalan dan bersantai dengan selesa. Jalan pun sudah banyak diturap semula, senang nak ke kampung lain,” katanya.

Sementara itu, pengusaha Restoran Ombak Rindu, Kamal Mustafa, 54, berkata peningkatan pelancong turut melonjakkan permintaan terhadap menu tempatan, terutama Mee Udang Pulau Tuba yang menjadi daya tarikan utama.
“Kalau dulu saya guna tiga hingga lima kilogram udang sehari, sekarang hujung minggu boleh cecah 20 kilogram, sesuatu yang saya tidak sangka sama sekali akan berlaku.
“Semua udang segar kami beli daripada nelayan Pulau Tuba sendiri. Pelancong luar negara pun ramai datang, termasuk dari China, Amerika Syarikat dan Australia,” katanya.
Beliau berkata, publisiti melalui media sosial, termasuk perkongsian video di YouTube oleh pelancong luar, turut membantu menarik minat ramai pengunjung baharu ke kedainya dan ke Pulau Tuba secara umum.
Secara keseluruhan, penduduk Pulau Tuba kini menikmati limpahan manfaat daripada pembangunan KAM.
Dari pulau nelayan yang tenang, Pulau Tuba kini berubah menjadi tumpuan pelancong, sekali gus mengangkat taraf hidup rakyat luar bandar.
Seiring dengan slogan Kampung Bangkit, Hidup Berubah, Pulau Tuba kini bukan sekadar destinasi persinggahan, tetapi menjadi contoh bagaimana pembangunan inklusif mampu membina komuniti mampan dan berdaya saing.
Artikel ini kali pertama disiarkan di Berita Harian dan diterbitkan semula di Free Malaysia Today dengan izin.