Peruntukan sama rata ibarat ‘beri pisau kepada musuh’, kata ADUN PKR

Peruntukan sama rata ibarat ‘beri pisau kepada musuh’, kata ADUN PKR

ADUN Sabak Ahmad Mustain Othman mendakwa jika BN kuat parti itu tidak akan memberikan peruntukan sama rata.

ADUN Sabak Ahmad Mustain Othman berkata, sewajarnya peruntukan diserahkan kepada Penyelaras DUN kerajaan Pakatan Harapan untuk diurus dan diserahkan kepada rakyat.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan di Selangor tidak bersetuju negeri itu memberi peruntukan sama banyak kepada wakil rakyat pembangkang sebagaimana dibentangkan dalam Bajet 2022.

ADUN Sabak Ahmad Mustain Othman dari PKR, mendakwa langkah dibuat oleh kerajaan negeri seolah-olah memberi bantuan kepada musuh.

“Saya tidak bersetuju peruntukan untuk ADUN pembangkang dinaikkan kerana perbuatan ini seolah kita ‘memberi pisau kepada musuh untuk menyembelih kita’.

“Adalah lebih baik peruntukan itu diserahkan kepada Penyelaras DUN yang dikendalikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lebih taat dan setianya kepada kerajaan negeri untuk diurus dan diserahkan kepada rakyat,” katanya menurut laporan Malaysia Gazette.

Bagaimanapun katanya, sekiranya peruntukan RM400,000 itu diagihkan juga kepada pembangkang, beliau akan memantau agar setiap sen duit itu tidak diselewengkan ADUN pembangkang.

Ahmad Mustain sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat Amanah, namun dipecat parti itu pada 28 Julai 2020.

Berhubung peruntukan sama rata yang diberikan oleh kerajaan persekutuan, kerajaan Perak dan Johor dengan PH sebagai pembangkang, beliau berkata, jumlah itu diberikan kerana kerajaan berada dalam kedudukan tidak stabil.

“Kerajaan persekutuan beri peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang, manakala Perak dan Johor juga berbuat demikian kerana kerajaan itu berada di hujung tanduk.

“Saya yakin sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) ini kuat, jangan harap mereka hendak bahagikan peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan supaya berhati-hati dengan Umno terutama ketika parti itu berada dalam situasi lemah kerana akan bertindak menyingkirkan lawan politiknya selepas kembali kuat.

“Buktinya di Melaka, PAS yang menjadi pujaan akhirnya diceraikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.