Cadangan naik geran KRT akan dibawa ke Kabinet, kata menteri

Cadangan naik geran KRT akan dibawa ke Kabinet, kata menteri

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata pihaknya setuju bawa cadangan itu ke Kementerian Kewangan sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri.

aaron ago dagang
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata berkata selain pemberian geran, kementeriannya juga menubuhkan Rukun Tetangga Progresif bagi membantu meningkatkan ekonomi komuniti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang memaklumkan bahawa kementeriannya bersetuju membawa cadangan untuk menaikkan kadar geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kepada RM10,000 hingga RM12,000 setahun kepada Jemaaah Menteri.

“Ramai cadang supaya kadar dinaikkan dari RM6,000 kepada RM10,000 hingga RM12,000, kita (kementerian) setuju dan kementerian telah memohon dan bawa isu ini kepada pihak atasan (Kementerian Kewangan) dan kemudian ke Kabinet.

“Kita melihat RM6,000 sekarang sudah tidak ada makna lagi,” katanya ketika ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Rukun Tetangga (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat.

Aaron berkata selain pemberian geran, kementeriannya juga menubuhkan Rukun Tetangga (RT) Progresif bagi membantu meningkatkan ekonomi komuniti di kawasan terlibat.

“Pada 2024 dan 2025 kita telah dapat peruntukan RM20 juta setahun untuk mereka melakukan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan pendapatan ekonomi kawasan mereka,” katanya.

Beliau juga memberi peringatan kepada mana-mana pihak supaya tidak menggunakan KRT untuk tujuan politik atau memecahbelahkan masyarakat.

“KRT ini adalah jentera utama perpaduan, ia menjadi tempat menyatupadukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan fahaman politik,” katanya.

Terdahulu, pindaan RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat melalui undi suara apabila majoriti wakil rakyat kerajaan dan pembangkang menyokongnya.

Pindaan terhadap Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) termasuk meminda Seksyen 2 dengan memasukkan takrif baharu ‘orang yang mempunyai kepentingan’ di dalam sesuatu KRT.

RUU itu juga bertujuan meminda perenggan 7(3)(d) dengan memotong istilah ‘pemastautin tetap’ untuk menjelaskan hanya warganegara layak dilantik sebagai anggota jawatankuasa KRT.

Selain itu, pindaan subseksyen 17(1) Akta 751 pula memperuntukkan hanya pemastautin dan orang yang mempunyai kepentingan di dalam KRT, yang juga warganegara, boleh membuat permohonan untuk menjadi anggota Skim Rondaan Sukarela.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.