Anwar umum RM500 juta baiki infrastruktur terjejas banjir

Anwar umum RM500 juta baiki infrastruktur terjejas banjir

Perdana menteri berkata beliau sudah arah semua jabatan menilai kerosakan serta melakukan kerja pembaikan segera.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Nadma tingkat kesiapsiagaan dan melaksanakan tindakan sewajarnya bersama pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri dalam mendepani banjir. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM500 juta bagi membaiki kerosakan infrastruktur awam yang terjejas di kebanyakan negeri akibat banjir baru-baru ini.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan semua jabatan di bawah kerajaan negeri dan persekutuan melakukan penilaian kerosakan serta kerja pembaikan dengan segera.

“Ini termasuk sekolah, klinik, kemudahan asas dan jalan…untuk segerakan, saya meluluskan RM500 juta untuk tujuan membaiki kerosakan akibat banjir,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.

RUU Perbekalan itu diluluskan di Dewan Rakyat semalam selepas dibentangkan Anwar 10 Okt lalu.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meningkatkan kesiapsiagaan dan melaksanakan tindakan sewajarnya bersama pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri dalam mendepani bencana itu.

“Banjir tahun ini menyaksikan lebih 150 pusat pemindahan sementara tambahan diaktifkan baru-baru ini, (yang) membantu lebih 12,000 mangsa.”

Terdahulu, Anwar mengulangi kerajaan memperuntukkan RM470 bilion menerusi Belanjawan 2026 dengan tumpuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi, mengukuh tadbir urus dan memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan pembangunan melalui pelaksanaan projek air, sekolah daif, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta kemudahan digital di bawah projek kabel dasar laut.

Dalam aspek keselamatan dan kesiapsiagaan bencana, katanya, Nadma menerima RM460 juta, manakala RM2.2 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan 43 projek rancangan tebatan banjir di seluruh negara.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar berjumlah RM66.2 bilion diikuti Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.5 bilion yang merangkumi pelantikan tetap 4,500 doktor kontrak pada tahun depan.

Belanjawan 2026 ialah belanjawan keempat di bawah kerajaan Madani dan yang pertama dilaksanakan dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13.

Bertemakan “Belanjawan Rakyat”, ia memperuntukkan RM470 bilion perbelanjaan awam merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Perbelanjaan itu turut disokong pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (RM30 bilion), kerjasama awam-swasta (RM10 bilion) serta sumbangan badan berkanun persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.